Rahsia Penulis

09 January 2014

Penafian khabar mengenai mesej Tsunami Akan Melanda Pantai Barat Sabah

Jabatan Meteorologi Malaysia menafikan khabar mengenai Mesej Tsunami akan melanda Pantai Timur Sabah. Ekoran daripada tersebarnya kononnya akan berlaku tsunami di pantai Sabah, ramai di antara penduduk khuatir sekiranya perkara ini akan benar-benar berlaku.

Pada masa aku post artikel ini, kedengaran di luar sana angin bertiup tidak seperti biasa. Adakah akan berlaku sesuatu?

Walau bagaimana pun aku yakin Jabatn Meteorogi Malaysia mempunyai kekuatan teknologi yang tinggi disamping mempunyai kakitangan yang mempunyai pengalaman dalam bidang ini.

Penyebaran maklumat seperti ini hanya akan mengundang keresahan kepada penduduk Malaysia. Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan maklumat bahawa khabar mengenai mesej Tsunami akan melanda pantai timur Sabah adalah palsu. Semoga Allah melindungi kita semua.

Ron 97 naik harga berita palsu mulai 8 januari 2014

Berita yang disebarkan mengenai ron 97 naik harga mulai 8 januari 2014 adalah palsu.

Setakat ini tidak ada pekeliling yang jelas dan benar yang telah dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kewangan Malaysia mengenai perkara ini.

   Jelas sekali pada masa kini teknologo yang kita sering gunakan telah disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

    Buat masa ini, kita tidak perlu risau mengenai kenaikan 5 sen yag disebarkan kerana ron 97 naik harga mulai 8 Januari 2014 adalah palsu.

05 January 2014

Test post guna smartphone

Hari ni aku nak try pulak guna android tulis sikit post pada blog aku ni. Mula-mula aku search dulu di google  dan playstore aku jumpa la ni program untuk tulis post.

Bukan apa, ni sebab aku akan hadir kursus selama 3 bulan. Kesian dengan anak-anak dan bini aku. Paksa tinggal dulu. Bukan lama 3 bulan jak.

Aku tak bawa laptop aku g kursus nanti. Jadi Insha Allah aku guna ni phone jak untuk post artikel nanti.

Test dulu tengok apa jadi dengan post ni

01 January 2014

Selamat Tahun Baru 2014


Selamat Menyambut Tahun 2014. Moga tahun ini kita dapat memperbaiki apa yang kurang pada diri kita.


Apa yang naik tu? Kita tunggu dan lihat apa yang kan berlaku pada tahun 2014. Semoga apa yang kita lihat ini tidak berlaku pada kita. Amin


Cadangan Ujian Perhubungan Pekerjaan

Setelah kita membincangkan keempat-empat ujian kawalan, ujian organisasi, ujian pelbagai dan ujian komposit, kita perlu menentukan ujian manakah yang terbaik yang boleh dipakai dalam menentukan hubungan majikan dan pekerja di Malaysia. Malaysia mempunyai undang-undang perlembagaan sebagai asas kepada semua undang-undang termasuk undang-undang perusahaan.
Terdapat 10 elemen yang diguna di Malaysia bagi membuat keputusan pertikaian hubungan majikan-pekerja.
1)      Hak seorang majikan bagi mengawal pekerja iaitu boleh menentukan kemahiran-kemahiran tertentu pekerja yang mereka kehendaki untuk ditawarkan pekerjaan.
2)      Pekerja yang ditawarkan pekerjaan itu adalah sebahagian daripada perniagaan, yang mana sekiranya pekerja tersebut tidak ada; maka operasi perniagaan itu akan terganggu.
3)      Apabila berlaku di mana pekerja itu mempunyai kepentingan dan peluang untuk mendapatkan keuntungan atau kerugian atas tanggungjawabnya sendiri maka kontrak pekerjaan akan tidak wujud.
4)      Hak majikan atas barang-barang yang mana seseorang individu bersetuju untuk bekerja. Kontrak tersebut dikenali kontrak untuk perkhidmatan.
5)      Hak terhadap pekerjaan yang ekslusif di antara majikan dan pekerja adalah bukti adanya perhubungan majikan pekerja.
6)      Pembayaran yang dilakukan secara tetap oleh majikan yang mengikut tempoh yang dipersetujui dalam masa tertentu seperti gaji, perubatan, cuti dan elaun dari satu pihak yang menawarkan kepada pihak yang menerima bukti kewujudan hubungan majikan-pekerja itu.
7)      Kuasa dalam membuat pilihan dan pelantikan petunjuk wujudnya kontrak perkhidmatan. Ini bagi membuktikan bahawa majikan mempunyai kuasa terhadap pemilihan pekerja. Ini akan membolehkan individu yang menawarkan pekerjaan memilih dan melantik sesiapa individu menjadi pekerjanya. Dengan itu, wujudlah hubungan antara majikan dan pekerja.
8)      Menentukan sama ada majikan tersebut mempunyai hak untuk penggantungan atau memberhentikan seseorang yang dilantik jika kontrak perkhidmatan itu tidak dipatuhi.
9)      Memastikan bahawa terdapat satu kuasa dalam menetapkan tempat, masa bekerja dan hari cuti. Sekiranya kuasa ini dimiliki oleh majikan maka dapat dinilai bahawa wujud hubungan majikan-pekerja dalam kontrak perkhidmatan itu.
10)  Mengkaji sama ada terma dan syarat serta perjanjian secara bertulis yang dipersetujui membuktikan wujud perhubungan majikan-pekerja. Sekiranya terdapat satu perjanjian secara bertulis ini, mudah bagi mahkamah membuat keputusan dalam pertikaian perhubungan majikan-pekerja yang dibawa ke mahkamah.

Kita lihat kes The Emperor Hotel Sdn. Bhd., Melaka lawan Magaindiran S.R. Sundram [1998] 3 ILR 228, satu permohonan dibuat di bawah seksyen 33 APP supaya award mahkamah termasuk bayaran servis, gaji, kenaikan tahunan dan bonus seperti yang diterima oleh pemohon semasa dalam perkhidmatan dengan majikannya. Dalam kes ini mahkamah memutuskan variasi bagi award terdahulu patut dibuat iaitu award mahkamah mestilah termasuk bayaran servis, gaji, kenaikan tahunan dan bonus. Mahkamah dalam kes itu merujuk pada beberapa kes lain termasuk kes Han Chiang High School/Penang Han Chiang Associated Chinese Schools Association lawan National Union of Teachers in Independent School [1990] 1 ILR 455.        
            Dalam kes ini mahkamah telah mengkaji sama ada wujud pembayaran terhadap saraan tetap untuk jangka masa yang tertentu termasuk gaji, perubatan, cuti dan elaun dari satu pihak yang menawarkan kepada pihak yang menerima. Ini bagi membuktikan  adanya kewujudan hubungan majikan-pekerja itu. Dalam pada itu penting juga bagi kita melihat kepada pelaksanaan sesuatu kerja itu disiapkan melebihi atau boleh melebihi satu bulan dan hendaklah secara bertulis. Dengan itu, mahkamah dapat menentukan hubungan majikan-pekerja bagi sesuatu kontrak perkhidmatan yang dipersetujui kedua pihak.

Kesimpulannya akta dan undang-undang diperuntukan dengan tujuan untuk melindungi para pekerja organisasi. Negara Malaysia mempunyai akta dan undang-undang yang tersendiri tetapi berdasarkan asas yang lebih kurang sama seperti jumlah jam bekerja, upah, cuti, cuti bersalin dan lain-lain. Kesediaan dalam mengambil pekerja boleh dilakukan dengan mewujudkan suatu pekerjaan untuk mengambil pekerja sama ada secara lisan atau bertulis. Kontrak perkhidmatan boleh wujud apabila individu yang diambil bekerja dan dibayar upah. Kewujudan  hubungan majikan-pekerja berlaku apabila kedua-dua pihak telah mematuhi terma dan syarat-syarat yang dipersetujui. Terdapat beberapa ujian yang dibuat bagi menentukan hubungan majikan-pekerja iaitu ujian kawalan, ujian organisasi, ujian pelbagai dan ujian komposit. Ujian kawalan adalah ujian tradisional yang melihat bagaimana kawalan majikan terhadap pekerja dalam melaksanakan pekerjaan. Manakala bagi ujian organisasi pula, mahkamah akan melihat sama ada pekerja tersebut merupakan golongan yang penting dalam organisasi dengan pemberian ganjaran yang setimpal. Dalam ujian campuran, mahkamah akan menentukan adanya kuasa dalam pemilihan, upah dan ganjaran, penggantungan dan pemecatan. Terdapat juga kes, mahkamh tidak mengambil semua faktor yang ada, tetapi hanya mengambil sebahagian faktor penting dalam sesuatu kes. Sekiranya ini berlaku, mahkamah akan mengambil kira dokumen bertulis yang boleh digunakan sekiranya ketiga-tiga ujian tersebut tidak kukuh. Ujian komposit pula melihat sama ada pekerja bersedia untuk menjalankan kerja-kerja dengan amanah dan bertanggungjawab terhadap majikan tersebut. Sekiranya terdapat kepentingan peribadi yang dibuktikan, maka keberangkalian individu tersebut tidak digelar sebagai pekerja. Di Malaysia, mahkamah sering menggunakan ujian campuran dengan mengkaji elemen-elemen dalam ujian. Mahkamah Perindustrian juga bersikap prihatin kerana ia hendaklah bertindak mengikuti ekuiti, perasaan hati yang baik dan merit kes tanpa memikirkan perkara teknikal serta berbentuk undang-undang. Kajian dan keputusan mahkamah bagi menentukan hubungan antara majikan dengan pekerja di Malaysia diperoleh daripada tiga sumber utama iaitu “Commom Law”, Undang-undang bertulis di Malaysia dan  Keputusan-keputusan Mahkamah Perusahaan dan Mahkamah Sivil.


 Rujukan
1)    Akta Kerja 1955 (Akta 265) & peraturan-peraturan dan perintah: hingga 5hb April 2001. (2001). Kuala Lumpur: International Law Book Services :.
2)    Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177): hingga 15th November 2008. (2008). Kuala Lumpur: International Law Book Services.
3)    Hapriza Ashari. (2004). Undang-undang Pekerjaan: Huraian Dan Panduan Terhadap Akta Kerja 1955. Kuala Lumpur: Universiti Teknologi Malaysia.
4)    Harlida Abdul Wahab, Roosniza Sharif, Mumtaj Hassan. (2011). BDUE3103 Introductory Employment Law. Selangor: Open University Malaysia
5)   Min Aun Wu. (1985). Undang-undang perhubungan perusahaan di Malaysia. Kuala Lumpur: Heinemann (Malaysia).
6)   Mohmad bin Yazam Sharif. (2001).  Asas Pengurusan Sumber Manusia: Pendekatan Proses. Kuala Lumpur: Utusan Publications

7) Kamal Halili Hassan, Ahmad Kamal (Nik.), Mumtaj Hassan. (2007). Siri perkembangan undang-undang di Malaysia: Undang-undang pekerjaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka

Ujian Penentu Perhubungan Pekerjaan

Terdapat beberapa ujian yang digunapakai bagi menentukan hubungan majikan dan pekerja dan diterima pakai dalam mahkamah bagi menentukan kelayakan seseorang itu sama ada mempunyai kedudukan status sebagai seorang pekerja atau sebaliknya.

 Ujian Kawalan

            Ujian Kawalan atau lebih dikenali sebagai ujian tradisional merujuk kepada tahap kawalan majikan terhadap pekerjanya. Kawalan di sini merujuk kepada pelaksanaan tugas, masa dan tempoh masa bekerja. Ujian ini digunapakai bagi mewujudkan satu kawalan majikan terhadap pekerja seliaannya. Semua ini mengambil kira cara bagaimana sesuatu kerja-kerja itu dilaksanakan oleh pekerja tersebut sama ada mengikut Prosedur Standard Kerja yang telah ditetapkan oleh majikan. Dalam sesuatu prosiding mahkamah bagi menyelesaikan pertikaian majikan-pekerja, mahkamah perlu menganggap pekerja sebagai individu yang dikawal oleh majikan mereka tentang apa dan bagaimana sesuatu pekerjaan itu dilakukan oleh pekerja mereka. Sekiranya majikan tidak mempunyai kawalan secara langsung terhadap tugas-tugas individu tersebut, maka individu tersebut dianggap bukan pekerja mereka.

            Sebagai contoh dalam kes Yewens lawan Noake 1880, mahkamah telah memutuskan bahawa seorang kerani yang bekerja memperolehi £150 setahun tidak didefinisikan sebagai pekerja hamba. Yang Arif Hakim Bramwell menyatakan bahawa “hamba adalah orang yang tertakluk kepada perintah tuannya tentang cara bagaimana beliau boleh melakukan kerjanya”

Ujian Organisasi
            Ujian organisasi ini adalah ujian integrasi iaitu menyatakan bahawa pekerja itu adalah golongan yang penting dalam sesebuah organisasi.  Dalam ujian ini, pekerja merupakan sebahagian daripada organisasi.  Ujian organisasi ini akan memastikan sama ada wujud satu hubungan majikan-pekerja. Dengan adanya ujian ini, kita akan dapat menentukan bahawa pekerja tersebut sama ada mempunyai fungsi utama dalam organisasi tersebut yang mana sekiranya fungsi mereka tidak membawa apa-apa kebaikan kepada organisasi akan mencacatkan fungsi organisasi itu sendiri.
            Terdapat dua pendekatan bagi mengenalpasti ujian organisasi ini terhasil iaitu;
1)      dengan melihat sejauh mana seseorang itu bergantung pada organisasi dengan mengambilkira keutamaan mereka terhadap pendapatan sebagai sesuatu yang amat mustahak. Ini akan menambah lagi andaian keberangkalian mereka ini dianggap sebagai pekerja.
2)      Dengan mengambil kira pandangan organisasi terhadap individu tersebut. Persoalan adalah sama ada kerja yang diamanahkan kepada mereka itu sangat penting dalam kejayaan dan matlamat organisasi tersebut.

Kita lihat salah satu kes yang berlaku Lembaga KWSP lawan M.S Ally & Co. Ltd [1975]. Dalam kes ini, plaintif yang disebut adalah seorang pembantu syarikat dalam organisasi ini. Manakala organisasi tersebut adalah sebuah syarikat yang mengeluarkan modal bagi menjalankan perniagaan mereka. Sebagai balasan kepada usaha yang dijalankan oleh plantif tersebut sebagai pembantu syarikat, syarikat bersetuju memberi ganjaran setelah mendapat hasil keuntungan hasil daripada modal yang dilaburkan oleh syarikat. Persoalan yang diketengahkan adalah sama ada pembantu syarikat tersebut adalah pekerja atau pun tidak.
Hakim Sulaiman menyatakan “........Terdapat kawalan yang memadai dan pembantu adalah sebahagian daripada organisasi dan kerja yang mereka lakukan adalah bahagian penting dan bukan hanya sebagai penambah kepada perniagaan itu. Mereka adalah pekerja kepada syarikat. Oleh itu, di bawah Ordinan KWSP 1951, kontrak yang dimasuki adalah kontrak perkhidmatan bukannya kontrak untuk perkhidmatan.
Dalam kes ini, kita mentafsirkan bahawa ganjaran yang diterima menunjukkan wujud satu hubungan majikan dan pekerja. Ujian organisai mendapati bahawa kerja yang dilaksanakan oleh pembantu syarikat itu adalah penting dalam kejayan dan mencapai matlamat syarikat tersebut.

 Ujian Pelbagai

Ujian pelbagai juga dikenali sebagai ujian campuran dengan mengambilkira semua keadaan yang terjadi hasil daripada kontrak perkhidmatan yang diwujudkan. Ujian ini akan mengambil kira semua faktor yang relevan terhadap hubungan majikan-pekerja. Ini termasuklah kuasa pemilihan, upah dan ganjaran, penggantungan dan pemecatan serta hak kawalan itu sendiri.
Sebagai contoh kita lihat dalam kes Morren lawan Swinton Pendiebury Borough Council (1965) di mana mahkamah telah mengambil kira dan meneliti beberapa faktor yang releven terhadap kes ini dengan mengambil kira jumlah jam bekerja, waktu bekerja, tempat kerja, kemahiran, cara pelantikan dan pemecatan, jenis upah, hak milik perkakasan pekerja dan kedudukan cukai. Mahkamah telah menggunakan ujian pebagai dengan melihat syarat-syarat kontrak tersebut.
Dalam banyak keadaan yang dikemukakan di mahkamah, mahkamah akan menggunakan kesemua ujian pelbagai dengan melihat keseluruhan faktor yang telah disebut tadi. Walaubagaimanapun, dengan terdapat juga keadaan di mana mahkamah tidak menerima keseluruhan faktor tersebut tetapi hanya mengambil kira beberapa faktor yang penting bagi memutuskan sesuatu kes pertikanan antara perhubungan majikan-pekerja.
Dalam satu kes lain yang ditafsirkan oleh mahkamah seperti dalam kes American International Assurance Co. Ltd Lawan Dato’ Lam Peng Cheng (award 257/88) menggunakan ujian-ujian yang pelbagai bagi menentukan sama ada lapan orang pihak yang menuntut di mahkamah bagi menentukan sama ada mereka ini adalah pekerja atau pun tidak. Ini merangkumi sama ada hubungan majikan-pekerja dalam kes ini mengikut terma-terma dalam kontrak pekerjaan atau sebaliknya kontrak yang tidak mengiktiraf mereka sebagai pekerja.
Dalam penentuan ini, mahkamah telah meneliti dan mengkaji kes ini dengan menggunakan pendekatan bahawa :-
1)      “.......... takrif pekerja dalam seksyen 2 Akta Perhubungan Perusahaan iaitu ‘mana-mana orang ... telah menolak maksud biasa pekerja di bawah Akta Pekerjaan, iaitu terdiri khusus daripada kelas, kumpulan tertentu, buruh atau pekerja kasar...”
2)      “......... Oleh itu, persoalan sama ada lapan orang yang menuntut adalah pekerja atau tidak adalah bergantung kepada sama ada mereka diambil bekerja oleh syarikat dengan kontrak perkhdmatan atau kontrak untuk perkhidmatan”

Dalam kenyataan mahkamah di atas, kita dapati mahkamah telah menggunakan ujian
pelbagai dengan mengambil kira ujian tradisional, ujian organisasi dan ujian campuran. Walaubagaimanapun, kita lihat di sini mahkamah juga telah memutuskan bahawa ketiga-tiga pendekatan ujian yang disebut tadi adalah tidak kukuh dan perlu dikaji semula.
            Oleh kerana dikatakan ketiga-tiga ujian tadi tidak kukuh, mahkamh telah mengambil tindakan dan memutuskan bahawa sesuatu kontrak yang dipersetujui juga perlu mengambil kira pandangan daripada manusia terhadap sesuatu kontrak yang dipersetujui kedua pihak majikan dan pekerja. Apabila sesuatu kontrak yang dipersetujui itu dibuat secara bertulis dan mematuhi syarat-syarat dan terma-terma dalam perjanjian kontrak maka kandungan dalam kontrak tersebut telah mengesahkan kesahihan sesuatu kontrak yang dibuat. Apabila kontrak dibuat itu telah didokumenkan secara bertulis maka mahkamah boleh memutuskan bahawa sesebuah perjanjian kontrak itu wujud kerana telah didokumenkan.
           
Dalam pada itu, ujian pelbagai memastikan bahawa hubungan majikan-pekerja boleh dibuat melalui ujian tradisional, ujian organisasi dan ujian campuran. Sekiranya ujian-ujian ini dianggap sebagai tidak kukuh maka apa-apa dokumen bertulis yang digunapakai dalam kontrak seperti jumlah jam bekerja, waktu bekerja, tempat bekerja, kemahiran, jenis upah dan ganjaran yang ditawarkan yang telah dinyatakan dalam dokumen kontrak itu dianggap sebagai san dan boleh menentu pengesahan dan pengiktiran seseoang itu atau kumpulan yang mempunyai hubungan dengan majikan sebagai pekerja mereka.

Ujian Komposit

            Ujian komposit adalah satu ujian terhadap satu persetujuan untuk bekerja bagi mempertimbangkan gaji yang ditawarkan secara tersirat atau telah dinyatakan untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab. Ujian ini menentukan sama ada individu tersebut menjalankan tugas dalam pekerjaan dengan tanggungjawab yang diberikan.
            Dalam ujian komposit, persetujuan pekerja dalam bekerja adalah berkaitan dengan balasan upah yang akan diterima disebabkan kesediaan untuk melakukan tanggungjawab dalam pekerjaan tersebut. Disamping itu, kemahiran dalam melaksanakan tugas juga diambil kira bagi menentukan hubungan majikan-pekerja. Setiap persetujuan pekerja yang dibuat adalah secara nyata atau tersirat dan perlu dikawal oleh majikan mereka. Dalam perjanjian kontrak perkhidmatan ini, peruntukan dan peraturan dalam kontrak tersebut hendaklah mematuhi kontrak perkhidmatan yang ditetapkan oleh undang-undang.
            Dalam satu kes mahkamah, Ready Mixed Concrete (South East) Ltd v Minister of Pensions and National Insurance [1968] adalah berkaitan dengan undang-undang dengan mendapatkan definisi kontrak perkhidmatan dan bukannya kontrak untuk perkhidmatan. Ini penting dalam menjaga hak undang-undang untuk pihak yang menuntut sama ada mereka ini pekerja atau sebaliknya. Pekerja adalah diiktiraf sebagai seseorang yang mempunyai kontrak pekerjaan dalam syarikat tersebut.
            Fakta kes adalah menentukan pekerja mereka dianggap sebagai pekerja atau sebaliknya. Seorang pekerja bernama Mr Thomas Latimer yang bekerja dari 1959 – 1963 di syarikat tersebut telah membuat tuntutan terhadap majikan beliau. Pada permulaan, syarikat yang menghantar konkrit telah mengambil kontraktor bebas melakukan pekerjaan ini dengan polisi-polisi yang telah ditetapkan. Walaubagaimanapun, syarikat telah mula menawarkan kepada kakitangan mereka untuk program sewa-beli lori melalui Ready Mixed Concrete. Pekerja mereka iaitu Mr Thomas Latimer telah mengambil peluang ini untuk mendapatkan lori secara sewa-beli ini. Dalam kontrak tersebut menyatakan bahawa beliau adalah kontraktor bebas dan hendaklah membayar kos operasi lori tersebut. Syarikat menetapkan bahawa beliau perlu memakai pakaian seragam syarikat semasa bekerja dan melekatkan logo syrikat tersebut di lori beliau. Malah beliau juga hanya boleh menggunakan lori tersebut hanya untuk syarikat mereka. Imbuhan yang diterima adalah dikira dalam perbatuan dan berat dengan muatan lori tersebut.
            Persoalan mengenai sama ada dia adalah seorang "pekerja" atau kontraktor bebas timbul kerana syarikat itu tidak membayar caruman insurans kebangsaan bagi pihaknya di bawah Akta Insurans Negara 1965. Jika dia bekerja sendiri mereka tidak perlu membayar caruman insuran, tetapi jika dia adalah seorang pekerja yang mereka perlu lakukan.
Menteri telah mendapati bahawa Mr Latimer diambil bekerja di bawah suatu kontrak perkhidmatan. Kes ini telah dibawa ke mahkamah. Berdasarkan fakta kes yang disebut di mahkamah, Yang Arif Hakim Mac Kenna dalam kes Ready Mixed Concrete (South East) lawan Minister Of Pensions [1968]  memutuskan bahawa Mr Latimer bukan seorang pekerja tetapi melihat sebagai ‘a small business man’ berdasarkan tugas dan tanggungjawab dalam menjalankan kerja itu atas persetujuan melaksanakan tugas itu dengan tanggungjawabnya sendiri.


Rujukan
1)    Akta Kerja 1955 (Akta 265) & peraturan-peraturan dan perintah: hingga 5hb April 2001. (2001). Kuala Lumpur: International Law Book Services :.
2)    Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177): hingga 15th November 2008. (2008). Kuala Lumpur: International Law Book Services.
3)    Hapriza Ashari. (2004). Undang-undang Pekerjaan: Huraian Dan Panduan Terhadap Akta Kerja 1955. Kuala Lumpur: Universiti Teknologi Malaysia.
4)    Harlida Abdul Wahab, Roosniza Sharif, Mumtaj Hassan. (2011). BDUE3103 Introductory Employment Law. Selangor: Open University Malaysia
5)   Min Aun Wu. (1985). Undang-undang perhubungan perusahaan di Malaysia. Kuala Lumpur: Heinemann (Malaysia).
6)   Mohmad bin Yazam Sharif. (2001).  Asas Pengurusan Sumber Manusia: Pendekatan Proses. Kuala Lumpur: Utusan Publications
7) Kamal Halili Hassan, Ahmad Kamal (Nik.), Mumtaj Hassan. (2007). Siri perkembangan undang-undang di Malaysia: Undang-undang pekerjaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka
31 December 2013

Perhubungan Pekerjaan

   Perhubungan pekerjaan melibatkan satu peraturan hubungan yang akan wujud antara majikan dengan pekerja. Perhubungan ini mengandungi hak dan tanggungjawab secara berterusan sehinggalah salah seorangnya menamatkannya berdasarkan terma kontrak yang telah dipersetujui kedua boleh pihak. Undang-undang adalah perkara penting dalam mewujudkan satu kontrak perkhidmatan.
Kontrak Perkhidmatan dapat didefinisikan sebagai satu perjanjian di mana seseorang bersetuju untuk mengambil kerja seseorang pekerja dan pekerja itu bersetuju berkhidmat dengan majikannya sebagai seorang pekerja. Kontrak tersebut boleh dibuat sama ada secara lisan atau bertulis. Bagi kontrak perkhidmatan yang khusus bagi suatu tempoh masa tertentu dan melebihi sebulan, ianya hendaklah dibuat secara bertulis. Terma atau syarat-syarat perkhidmatan mestilah bertulis dan diberi kepada semua pekerja pada atau sebelum pekerja tersebut mula bertugas. Terma-terma ini tidak boleh kurang daripada terma-terma yang ditetapkan oleh Akta Kerja 1955.
      “Kontrak pekerjaan” wujud apabila majikan mengambil seseorang individu bekerja dengannya dan membayar upah tertentu, serta mengandungi terma dan syarat yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Kita ambil satu contoh perhubungan kontrak pekerjaan antara majikan dan pekerja. Kita anggap majikan adalah kerajaan dan penjawat awam lantikan kontrak sebagai pekerja. Sebagai majikan, kerajaan akan menyediakan jumlah masa bekerja  sehari, skop dan jenis kerja yang dilakukan, gaji bulanan, cuti dan faedah dan beberapa perkara perlu untuk dipatuhi oleh penjawat awam tersebut. Ini bermakna kerajaan dan pekerja mempunyai satu hak dan tanggungjawab yang melibatkan satu undang-undang kontrak yang perlu dipatuhi.
Kontrak perkhidmatan ini penting dalam menentukan seseorang individu tersebut merupakan pekerja atau pun tidak. Terdapat empat jenis ujian yang biasa dan diterima pakai oleh mahkamah iaitu ujian Kawalan, Ujian Organisasi, Ujian Pelbagai dan Ujian Komposit.

Hubungan Majikan-Pekerja

Majikan

Akta Kerja 1955 mendefinisikan Majikan sebagai Mana-mana orang yang mempersetujui suatu kontrak perkhidmatan untuk menggaji mana-mana orang lain sebagai pekerja, dan ini termasuklah ejen, pengurus atau wakilnya.

Akta Perhubungan Perusahaan 1967 pula mendefinisikan Majikan sebagai Mana-mana orang atau syarikat, sama ada diperbadankan atau tidak, yang mengambil pekerja di bawah kontrak pekerjaan, dan ini termasuklah badan kerajaan dan badan berkanun, kecuali dinyatakan sebaliknya di Akta ini.

            Oleh yang demikian, melalui definisi-definisi ini, majikan adalah orang yang bertanggungjawab dalam memberi kontrak perkhidmatan kepada seseorang individu yang akan digajinya yang seterusnya digelar pekerja. Majikan ini termasuklah pengurus, ejen atau individu yang bertanggungjawab dalam memberi pembayaran gaji dan upah kepada pekerja, termasuk mana-mana pihak kerajaan, badan berkanun, pihak berkuasa tempatan dan badan-badan lain.

Pekerja
Akta Kerja 1955 mendefinisikan pekerja sebagai mana-mana orang atau kelas orang yang: termasuk dalam mana-mana kategori yang dinyatakan dalam Jadual Pertama (iaitu mereka yang menerima gaji bulanan tidak lebih RM1500); atau Menteri Sumber Manusia boleh membuat perintah di bawah Seksyen 2(3) atau Seksyen 2A.

Jadual Pertama Akta Kerja 1955: mengkelaskan pekerja kepada dua kategori.

Kategori pertama
pekerja dikelaskan mengikut jumlah gaji yang diterima, iaitu tidak melebihi RM1500 sebulan.

Kategori kedua
pekerja dikelaskan mengikut jenis kerja yang dilakukan, walaupun gaji bulanan yang mereka terima melebihi RM1500. Kategori kedua ini terdiri daripada mereka yang bekerja sebagai:

i)  buruh kasar, termasuklah mereka yang mempunyai kemahiran(skill), contohnya ahli tukang atau perantis;
ii) pekerja yang terlibat dalam operasi atau pengendalian kenderaan bergerak, sama ada untuk  tujuan pengangkutan penumpang, barangan atau perdagangan(commercial)
iii) pekerja yang terlibat dalam penyeliaan buruh-buruh kasar;
iv) pekerja yang terlibat dalam sebarang tugas yang berkaitan dengan perkapalan, kecuali pegawai, pemegang sijil tempatan dan yang mempersetujui apa-apa perjanjian dari Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan
 v) pembantu rumah

Menurut Akta Perhubungan Perusahaan 1967 pekerja didefinisikan sebagai Mana-mana orang, termasuklah perantisan yang diambil bekerja oleh majikan di bawah kontrak pekerjaan, untuk bekerja bagi mendapatkan upah atau ganjaran, dan bagi tujuan apa-apa tindakaan undang-undang (proceeding) berhubung dengan pertikaian perindustrian, termasuklah mana-mana orang yang dipecat(dismissed), dilepaskan(discharged) atau diberhentikan(retrenched) berhubung dengan pertikaian perindustrian, atau mana-mana orang yang akibat daripada pemecatan, pelepasan atau pemberhentian itu telah menimbulkan suatu pertikaian perindustrian.

           Oleh yang demikian pekerja adalah individu yang diambil bekerja oleh majikan dan menerima gaji dan upah atas sebab sesuatu pekerjaan yang dilaksanakan. Penawaran gaji ini sebenarnya masih dikawal oleh Menteri Sumber Manusia agar tidak berlaku penindasan pemberian gaji kepada pekerja yang tidak setimpal dengan pekerjaan yang telah dipersetujui. Pekerja dapat dikategorikan kepada dua kategori iaitu gaji yang tidak melebihi RM1500 sebulan dan pekerja yang menerima gaji melebihi RM1500. Pekerja juga termasuklah pekerja yang telah dipecat atau dilepaskan atau telah diberhentikan bagi menyelesaikan suatu pertikaian perindustrian antara majikan dan pekerja.

Rujukan
1)    Akta Kerja 1955 (Akta 265) & peraturan-peraturan dan perintah: hingga 5hb April 2001. (2001). Kuala Lumpur: International Law Book Services :.
2)    Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177): hingga 15th November 2008. (2008). Kuala Lumpur: International Law Book Services.
3)    Hapriza Ashari. (2004). Undang-undang Pekerjaan: Huraian Dan Panduan Terhadap Akta Kerja 1955. Kuala Lumpur: Universiti Teknologi Malaysia.
4)    Harlida Abdul Wahab, Roosniza Sharif, Mumtaj Hassan. (2011). BDUE3103 Introductory Employment Law. Selangor: Open University Malaysia
5)   Min Aun Wu. (1985). Undang-undang perhubungan perusahaan di Malaysia. Kuala Lumpur: Heinemann (Malaysia).
6)   Mohmad bin Yazam Sharif. (2001).  Asas Pengurusan Sumber Manusia: Pendekatan Proses. Kuala Lumpur: Utusan Publications
7)   Kamal Halili Hassan, Ahmad Kamal (Nik.), Mumtaj Hassan. (2007). Siri perkembangan undang-undang di Malaysia: Undang-undang pekerjaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka

03 April 2013

2 jenis undang-undang awam

Undang-undang Perlembagaan
 
    Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Perlembagaan negara telah digubal dengan mengadakan syarat-syarat untuk pengalaman sistem ini. Salah satu syarat sistem Demokrasi Berparlimen adalah pembahagian kuasa kepada tiga bahagian di dalam Sistem Pemerintahan Kerajaan Malaysia iaitu Badan Perundangan (Legislative), Badan Pemerintah (Executive) dan Badan Kehakiman (Judicial).

     Perkara 4 (1) menyatakan Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-udang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu. Perlembagaan Persekutuan mengandungi 15 Bahagian, 183 Perkara dan 13 Jadual. Bagi setiap perkara terdapat beberapa Fasal yang dijelaskan dengan terperinci sebagai garis panduan perundangan dan kepentingan rakyat.

Susunan Perkara-perkara Dalam Perlembagaan Persekutuan

Bahagian 1 Perkara 1 hingga 4 – Negeri-negeri, Agama dan Undang-undang Bagi Persekutuan
Bahagian 2 Perkara 5 hingga 13 – Kebebasan Asasi
Bahagian 3 Perkara 14 hingga 31 – Kewarganegaraan
Bahagian 4 Perkara 32 hingga 69 – Persekutuan
Bahagian 5 Perkara 70 hingga 72 – Negeri-negeri
Bahagian 6 Perkara 73 hingga 95E – Perhubungan Antara Persekutuan Dengan Negeri-negeri
Bahagian 7 Perkara 96 hingga 112D – Peruntukan-peruntukan Kewangan
Bahagian 8 Perkara 113 hingga 120 – Pilihanraya
Bahagian 9 Perkara 121 hingga 131A – Perhakiman
Bahagian 10 Perkara 132 hingga 148 – Perkhidmatan Awam
Bahagian 11 Perkara 149 hingga 151 – Kuasa-kuasa Khas Menentang Perbuatan Subversi, Dan Kuasa- kuasa Darurat
Bahagian 12
Bahagian 12B
Perkara 152 hingga 160B – Am Dan Pelbagai
Perkara 161 hingga 161 H – Perlindungan Tambahan Bagi Negeri-negeri Sabah Dan Sarawak
Bahagian 13 Perkara 162 hingga 180 – Peruntukan Sementara Dan Peralihan
Bahagian 14 Perkara 181 – Perkecualian Bagi Kedaulatan Raja-raja dsb.
Bahagian 15 Perkara 182 hingga 183 – Prosiding Terhadap Yang Di-Pertuan Agong Dan Raja-raja

Jadual-Jadual
Jadual Pertama Sumpah bagi pemohon-pemohon untuk pendaftaran atau masukan
Jadual Kedua Kewarganegaraan dengan cara kuatkuasa undang-undang bagi orang-orang yang lahir sebelum, pada atau selepas Hari Malaysia.
Jadual Ketiga Pemilihan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Kepala Utama Negara.
Jadual Keempat Sumpah jawatan bagi Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong
Jadual Kelima Majlis Raja-raja
Jadual Keenam Bentuk sumpah dan ikrar
Jadual Ketujuh Pemilihan dan persaraan ahli-ahli Dewan Negara
Jadual Kelapan Peruntukan-peruntukan yang akan dimasukkan dalam Perlembagaan-perlembagaan Negeri
Jadual Kesembilan Senarai perundangan
Jadual Kesepuluh Pemberian dan sumber-sumber hasil yang diserahkan kepada negeri.
Jadual Kesebelas Peruntukan bagi Ordinan Pentafsiran dan Fasal-fasal Am, 1948 (Ordinan Malayan Union No. 7 tahun 1948) dipakai bagi pentafsiran Perlembagaan.
Jadual Keduabelas (Dimansuhkan)
Jadual Ketigabelas Peruntukan-peruntukan berhubung dengan persempadanan bahagian pilihanraya

Perkara 5 (1) menyatakan tiada seseorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali menurut undang-undang. Ini bermaksud seseorang tidak boleh dibunuh dan dipenjarakan melainkan menurut undang-undang. Perkara 5 (3) pula menyatakan jika seseorang ditangkap maka ia hendaklah diberitahu dengan seberapa segera yang boleh sebab-sebabnya ia ditangkap dan ia hendaklah dibenarkan berunding dengan seorang pengamal undang-undang yang dipilih olehnya dan dibela oleh pengamal undang-undang itu.

Perkara 11 menyatakan Perlembagaan membenarkan kebebasan beragama di mana tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya. Setiap orang berhak mengembangkan agamanya namun begitu undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang-orang yang menganuti agama Islam.

Perkara 13 menyatakan tiada seseorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang. Tiada sesuatu undang-undang pun boleh membuat peruntukan bagi mengambil atau menggunakan harta-harta dengan paksa dengan tiada pampasan yang mencukupi.

Perkara 121 menyatakan mahkamah-mahkamah persekutuan tidaklah boleh mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalan bidang kuasa mahkamah Syariah.

Perkara 150 menyatakan jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar yang sedang berlaku dan keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya adalah terancam oleh kerananya, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Pengisytiharan Darurat.

Perkara 152 menyebut bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, Perlembagaan menyatakan kebebasan untuk menggunakan, mengajar atau belajar bahasa lain.

Perkara 153 menyatakan adalah menjadi tanggunggjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputra mana-mana negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.

Perkara 181 menyatakan pengecualian bagi kedaulatan Raja-raja di mana kedaulatan, hak kedaulatan, kuasa dan bidang kuasa Raja-raja, Pembesar-pembesar Memerintah Negeri Sembilan dalam wilayah mereka masing-masing.. Tiada apa-apa pembicaraan boleh dibawa dalam mana-mana mahkamah terhadap Raja bagi sesuatu Negeri atas sifat peribadinya kecuali dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan dan dilantik oleh Majlis Raja-raja.

Perkara 74 menyebut Parlimen boleh membuat undang-udang mengenai mana-mana perkara yang disebutkan dalam Senarai Persekutuan atau Senarai Bersama (iaitu Senarai Pertama atau Ketiga yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan) dan Badan Perundangan Negeri diberi kuasa membuat undang-undang mengenai mana-mana perkara yang disebutkan dalam senarai Negeri (iaitu Senarai Kedua yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan) atau Senarai Bersama. Perkara 75 menyatakan sekiranya undang-undang Negeri berlawanan dengan undang-undang Persekutuan, maka undang-undang Persekutuan itu hendaklah dipakai dan undang-undang Negeri itu hendaklah terbatal setakat mana ianya berlawanan dengan undang-undang Persekutuan itu.

Perkara 160 menyebut tentang tafsiran kandungan ayat yang digunakan di dalam Perlembagaan. Klausa 2 menerangkan “Melayu” ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap Bahasa Melayu, menurut adat istiadat Melayu dan berdomisil (bermastautin) di Malaysia (Persekutuan) atau di Singapura.

Undang-undang Jenayah

Undang-undang jenayah mengkodifikasikan salah laku oleh individu terhadap negaranya. Ia bertujuan menghukum pesalah dan mengurangkan kadar jenayah menerusi ancaman hukuman yang diberikan, contohnya pencuri dihukum penjara, ini bagi melindungi masyarakat daripada ancaman pesalah laku.
Undang-undang jenayah merupakan salah satu undang-undang yang utama dan substantif bagi setiap negara. Tujuan utama kewujudan undang-undang ini adalah bagi memastikan kehidupan manusia dapat dinikmati dengan baik. Hukuman yang setimpal dijatuhkan ke atas orang yang melakkan kejahatan dan mengganggu gugat nikmat keharmonian serta ketenteraman orang lain.

Setiap jenayah mempunyai unsur-unsur jenayah. Hukuman mati boleh dikenakan kepada penjenayah yang terlibat dalam jenayah pembunuhan, pengedaran dadah, pengkhianatan dan melancarkan perang sebagai contoh terhadap Yang di-Pertuan Agong. Ini termasuklah tindakan keganasan di mana mana-mana pengganas dan sesiapa yang membantu pengganas adalah bertanggungjawab untuk menghadapi hukuman mati. Hukuman fizikal juga boleh dikenakan seperti hukuman sebatan atau cambuk. Bukti jenayah memerlukan bukti perbuatan tertentu atau elemen luar sesuatu jenayah iaitu actus reus atau “tindakan bersalah” yang ketika dibuktikan tidak dapat diragui lagi dalam kombinasi dengan mens rea iaitu “fikiran bersalah” yang menghasilkan liabiliti penjenayah dalam asas common law.

Undang-undang jenayah di Malaysia

Sumber utama undang-undang jenayah di Malaysia ialah Kanun Keseksaan (Penal Code) dan Kanun Tatacara Jenayah (Criminal Procedure Code). Kanun Keseksaan adalah undang-undang utama di mahkamah Malaysia. Kanun Tatacara Jenayah telah diisytiharkan untuk mengawal selia pentadbiran keadilan jenayah atau prosedur di Malaysia. Inter alia Kanun Tatacara Jenayah menyediakan prosedur penangkapan, pencarian, penyiasatan polis dan perbicaraan yang dijalankan di Malaysia.

Terdapat peraturan dan prosedur asas yang perlu dipatuhi dalam menahan saspek berdasarkan hak-hak individu iaitu:
  1. Jika ditangkap, hendaklah diberitahu dengan beberapa segera sebab-sebab ia ditangkap dan untuk dibenarkan berunding dan dibela dengan seorang pengamal undang-undang yang dipilih olehnya. (Perkara 5 Fasal (3) Perlembagaan Persekutuan).
  2. Jika ditangkap dan tidak dilepaskan dalam masa 24 jam, orang itu perlu dihadapkan ke seorang Majistret untuk ditahan lanjut.Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah)
  3. Hak untuk diberitahu samada kesalahan itu boleh dijamin atau tidak boleh dijamin.
  4. Pemeriksaan am terhadap saspek dan premis dijalankan bagi tujuan penyiasatan.
  5. Sebarang prosedur penahanan individu adalah berdasarkan Akta Polis 1967, Kanun Acara Jenayah dan Peraturan Lokap.
Peranan Undang-Undang Awam Dalam Keadilan Di Malaysia
Kesalahan Trafik

     Kesalahan trafik adalah kesalahan yang dilakukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) atau Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334). Di bawah Akta-Akta ini, denda minimum adalah  RM300.00.  Ia boleh mencapai RM10,000.00 mengikut kesalahan yang dilakukan. Di dalam Akta-akta ini kesalahan yang dilakukan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu saman boleh dikompaun, saman tidak boleh dikompaun dan kesalahan yang boleh ditangkap. Contoh kesalahan boleh dikompaun ialah gagal menunjukkan lesen memandu atau insurans apabila diminta oleh polis, warden lalu lintas atau pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 18(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Pembayaran kompaun boleh dibayar sebelum luputnya tarikh yang telah ditetapkan di dalam notis JPJ(P)22Pin.1/94 dan Polis 257 Pin.4/95 yang telah diterima oleh anda sewaktu saman dikeluarkan.  Tetapi jika tarikh kompaun telah tamat, seseorang itu perlu dikehendaki hadir ke Mahkamah untuk dibicarakan. Ini bagi membolehkan mahkamah menjatuhkan hukuman bagi kesalahan yang dikesan

     Salah satu contoh undang-undang awam adalah subsidiary legislation atau undang-undang kecil. Perundangan kecil ini boleh dalam bentuk Peraturan-peraturan (Regulations), Kaedah-kaedah (Rules), Perintah-Perintah (Orders); atau lain-lain bentuk yang seumpamanya. Menurut seksyen 3, Akta Tafsiran 1967, “perundangan kecil” bermaksud sebarang perisytiharan, kaedah, peraturan, perintah, pemberitahuan, undang-undang kecil (by-laws) atau lain-lain instrumen yang dibuat di bawah mana-mana Akta, Enakmen, Ordinan atau lain autoriti yang sah di sisi undang-undang dan mempunyai kesan perundangan.

Kesalahan Meletak Kenderaan

     Ordinan Kerajaan Tempatan 1967 Undang-Undang Kecil (Peruntukan-Peruntukan Tempat Letak Kereta) Bandaraya Kota Kinabalu, 2003 merupakan contoh undang-undang kecil yang terpakai. Merujuk Perkara 23. Tiada kenderaan bermotor boleh diletak sedemikian dalam mana-mana jalanraya atau tempat letak kereta yang ia membentuk suatu penghalangan kepada laluan bebas lalulintas kenderaan atau pejalan kaki. Contohnya meletakkan kenderaan bermotor di tempat selain dari yang ditetapkan bagi jenis kenderaan itu dan menghalang lalulintas kenderaan seperti pengangkutan awam atau pejalan kaki. Mayor mempunyai berkuasa menyebabkan kenderaan bermotor tersebut tidak bergerak dengan mengunci kenderaan tersebut menggunakan peralatan yang difikirkan wajar. Oleh itu kadar kompaun yang dikenakan adalah tidak melebihi RM150.00 sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Mayor untuk mengalihkan dan kenderaan bermotor tersebut. Sekiranya orang yang didapati salah tidak gagal mematuhi notis kompaun yang dikenakan. Mayor mempunyai kuasa untuk membawa kes tesebut ke mahkamah untuk dibicarakan

     Undang-undang Malaysia dikuatkuasa bagi mengamalkan satu peraturan yang dikuatkuasakan bagi tujuan mentadbir masyarakat. Undang-undang tersebut merupakan peraturan yang mentadbir tingkahlaku masyarakt. Arahan-arahan yang dikeluarkan dikuatkuasakan melalui penggunaan sekatan dan hukuman ke atas individu yang mengingkarinya. Undang-undang terbahagi kepada dua jenis utama iaitu undang-undang awam dan undang-undang persendirian. Undang-undang awam bertujuan untuk mentadbir sesebuah Negara iaitu bagi mengawal hubungan individu dengan Negara. Undang-undang ini menrangkumi undang-undang perlembagaan, pentadbiran dan jenayah. Undang-undang persendirian pula bagi menguatkuasakan hubungan antara individu berkaitan dengan hak masing-masing. Seseorang boleh untuk menuntut kerugian disebabkan pelanggaran undang-undang. Undang-undang ini merangkumi undang-undang kontrak, undang-undang tort, undang-undang amanah, undang-undang tanah, keluarga, syarikat dan perkongsian. Perbezaan ketara undang-undang awam dengan undang-undang persendirian iaitu undang-undang awam melibatkan kes-kes mahkamah di antara pihak pendakwaraya dari peguam atau pihak berkuasa yang mewakili kerajaan. Undang-undang persendirian pula melibatkan perselisihan antara dua pihak berkaitan dengan kontrak perjanjian iaitu setiap individu boleh diwakili oleh peguam masing-masing. Dalam prosiding ini pihak menuntut keadilan adalah plantif dan pihak yang didakwa adalah defendan. Dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia terdapat beberapa perkara perlu dipatuhi. Perlembagaan ini bertujuanm untuk pembahagian kuasa kepada badan perundangan (legislative), badan pemerintah (executive) dan badan kehakiman. Dalam udang-undang jenayah, hukuman setimpal akan dijatuhkan kepada orang yang melakukan kesalahan dengan niat menggangu gugat keharmonian dan ketenteraman orang lain. Asasnya terdapat prosedur perlu dipatuhi dalam menaham suspek melalui Perkara 5 Fasal (3) Perlembagaan Persekutuan berkenaan hak penahanan seseorang. Kesemua undang-undang ini mempunyai satu tujuan utama iaitu memberi keadilan kepada setiap masyarakat yang mempunyai hak menuntut keadilan. Kita dapat lihat Malaysia mengamalkan sistem pengadilan yang saksama dengan member peluang setiap pertikaian untuk dibicarakan.


RUJUKAN

1. BRADLEY, A. W. (1985). Constitutional And Administrative . New York: Longman.
2. Heuston, R. (1979). Essays in Constitutional Law. London: Stevens & Son.
3. Hapriza Ashari, Khairiah Soehad & Lekha Laxma (2005). Prinsip Undang-Undang Malaysia. Pahang. PTS Publications.
4. Pheng, L. M. (2003). General Principles of Malaysian Law. Selangor: Fajar Bakti.
5. Ramalingam, C. L. (2010). BDAU2103: Elements of Law. Selangor. Open University Malaysia.
6. Undang-undang (Wikipedia): Http://Ms.Wikipedia.Org/Wiki/Undang-Undang
8. Malaysia Kita Panduan Dan Rujukan Untuk Peperiksaan Awam International Law Book Services Cetakan Semula 2008
9. Perlembagaan Persekutuan (Hingga 20 Januari 2012) International Law Book Services (2012)
11. Ordinan Kerajaan Tempatan, 1961 (Ordinan No. 11 Tahun 1961) Perintah (Penyerahan Tugas-Tugas Peruntukan-Peruntukan Tempat Letak Kereta Dan Perhentian) Pihak Berkuasa Tempatan, 1973. Undang-Undang Kecil (Peruntukan-Peruntukan Tempat Letak Kereta) Bandaraya Kota Kinabalu, 2003
12. Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333)
13. Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334)