Header Ads Widget

Responsive Advertisement

KONFLIK DALAM KOMUNIKASI INTERPERSONAL

Wood, Walace, Zeffane, Schermerhorn, Hunt, dan Osborn (1998) ada menerangkan konflik komunikasi adalah suatu situasi di mana dua atau banyak orang tidak setuju terhadap suatu permasalahan yang berkaitan dengan kepentingan matlamat yang menimbullkan perasaan permusuhan satu dengan yang lain. Konflik boleh berlaku dalam hubungan komunikasi yang akan merenggangkan hubungan keluarga yang terjalin. Setiap orang menangani konflik komunikasi dengan cara yang berbeza.

1. Pendapat Yang Berbeza

Dalam sebuah keluarga tentunya berlaku komunikasi. Walaubagaimanapun, komunikasi yang berlaku antara ibu dan bapa, kadang-kadang akan berlaku pendapat yang berbeza. Perbezaan pendirian dan perasaan merupakan faktor penyebab berlaku konflik dalam komunikasi. Akibat daripada sumber mesej yang disalurkan tidak cukup maka percanggahan pendapat dan persepsi menyebabkan penerima mesej tersebut tersalah anggap.

Perbezaan pendapat ini akan melonggarkan ikatan pasangan suami isteri apabila konflik seperti ini sering berlaku. Terdapat banyak isu yang menjadi konflik dalam sesebuah keluarga. Antaranya adalah isu berkenaan kewangaan, hubungan mentua, hubungan keluarga lain dan anak-anak. Suami perlu cenderung untuk mewujudkan perbincangan dan memberi peluang kepada isteri untuk memberi pendapat mengenai sesuatu isu bagi mencapai kata sepakat. Mesej yang disampaikan oleh suami kadang kala tidak dapat diterima oleh isteri apabila penyaluran mesej tersebut kurang difahami atau langsung tidak difahami atau sebaliknya.

Pegawai Psikologi Pemangku Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr Khamsiah Ismail, pernah berkata kewangan boleh menjadi punca utama konflik keluarga walau sebanyak mana jumlah wang yang diperoleh. Ini adalah konflik komunikasi dalam menentukan perbelanjaan kewangan sesebuah keluarga. Sikap untuk mempertahankan diri dan memiliki tujuan dan pendapat yang berbeza akan mewujudkan konflik walaupun tujuan yang sama bagi mencapai matlamat dalam institusi keluarga. Penghantar dan penerima mesej menganggap bahawa satu sama lain adalah penghalang bagi mencapai matlamat yang perlu dipenuhi.

2. Perbezaan Peranan

Dalam budaya kita, suami merupakan ketua keluarga dalam sesebuah keluarga itu. Perbezaan peranan dalam keluarga boleh berlaku kerana keputusan yang dibuat tidak memenuhi matlamat sebenar yang dikehendaki. Mesej yang disampaikan oleh penghantar kepada penerima walaupun disalurkan dengan baik, boleh berlaku konflik komunikasi apabila peranan masing-masing masih belum dapat diterima oleh pasangan suami isteri.

Konflik perbezaan peranan ini boleh berlaku disebabkan kegagalan komunikasi antara suami dan isteri. Kita dapat lihat suami isteri yang kurang bercakap dan hanya menggunakan komunikasi secara tidak lisan cenderung untuk terlibat dalam menentukan peranan masing-masing. Suami yang bekerja menganggap bahawa beliau mempunyai peranan dalam mencari nafkah dan isteri pula mempunyai peranan dalam mengurus rumah. Ini boleh menyebabkan suami mahu semua keputusan dipatuhi oleh isteri tanpa perlu berkomunikasi dengan berkesan. Apabila menghantar mesej kepada isteri atau sebaliknya, kedua-dua pihak perlu tahu tanggungjawab masing-masing dengan berbincang bagaimana untuk melakukan komunikasi yang berkesan. Ini penting untuk memainkan peranan masing-masing dalam keluarga. Kedua-dua pihak perlu bijak dan peka keadaan persekitaran rumah agar konflik ini dapat ditangani. Suami perlu membantu isteri sekiranya isteri memerlukan bantuan seperti mengemas rumah. Komunikasi tingkah laku menolong isteri di rumah dapat mengurangkan konflik perbezaan peranan dalam keluarga.

3. Perbezaan matlamat

Perbezaan matlamat juga boleh menyebabkan berlakunya konflik komunikasi. Dalam konflik komunikasi keluarga, ibu dan bapa sering dilihat membuat keputusan yang tidak diambil secara muafakat. Ini menyebabkan berlakunya perbezaan pendapat kalangan mereka. Perbincangan perlu diambil agar hal-hal yang perlu diputuskan boleh memenuhi kehendak matlamat masing-masing. Penghantar mesej perlu tahu perubahan yang ingin dilakukan dengan menyampaikan butir-butir maklumat kepada penerima. Walaupun idea yang jelas daripada penghantar mesej, tetapi dalam fikiran penerima tidak dapat diteroma menjadi punca kegagalan dalam mencapai matlamat yang dikehendaki. Ini boleh berlaku apabila ekspresi penghantar mesej tidak tepat, kurang perhatian pihak penerima, mementingkan diri sendiri.

Suami isteri perlu memastikan kedua-dua pihak mencapai persefahaman dalam perbezaan matlamat.Komunikasi boleh berlaku secara lisan dan tidak lisan antara ibu dan bapa. Perbezaan ekspresi komunikasi lisan dan tidak lisan boleh menyebabkan matlamat tidak dapat dicapai, Apabila suami menegur isteri, mesej yang disampaikan boleh menjadi tidak selari apabila perkataan mesej yang disalurkan tidak selari dengan mimik muka yang tidak serius. Ini akan menyebabkan konflik dalam komunikasi tersebut.
Emosi dan persepsi individu boleh melemahkan lagi proses komunikasi. Suami isteri sering melakukan konflik komunikasi apabila membayangkan apa yang dilihat dan didengar hanya untuk memenuhi keperluan dan matlamat masing-masing. Untuk mencapai suatu matlamat dalam komunikasi keluarga, suami isteri perlu bijak berkomunikasi. Kemahiran berkomunikasi membolehkan pasangan suami isteri untuk memujuk atau mempengaruhi orang lain untuk mencapai apa yang kita inginkan.
 

MENGURUS KONFLIK

Pasangan suami isteri perlu bijak dalam mengurus masalah komunikasi yang berlaku. Setiap mesej yang disampaikan perlu dibuat pilihan yang terbaik. Mengurus konflik komunikasi suami isteri memerlukan komitmen yang tinggi bagi memastikan konflik ini dapat ditangani.

1. Mengelak dan Berunding

Perundingan adalah satu kaedah penyelesaian konflik dalam komunikasi antara satu sama lain. Tujuan adalah untuk mencari kaedah dalam membuat keputusan bersama. Perundingan perlu diadakan agar memastikan konflik dalam keluarga diselesaikan dengan bijak tanpa rasa prejudis terhadap keputusan yang dibuat.
Apabila melakukan komunikasi, penghantar dan penerima perlu bijak membincangkan mesej yang disampaikan. Sama ada perlu berbincang dan tidak mengelak daripada berbincang agar matlamat komunikasi dapat dicapai pada kedua-dua pihak. Rundingan ini perlu bagi menjayakan komunikasi ini. Mesej yang disampaikan secara lisan dan tidak lisan perlu seiring agar konflik yang berlaku dapat ditangani kerana pemahaman setiap individu mengenai mesej yang disalurkan adalah berbeza.
Suami isteri perlu bersedia secara fizikal dan psikologi apabila mengurus konflik komunikasi. Suami perlu menghantar mesej kepada isteri dengan cara berunding dan bukannya cuba mengelak untuk berunding dengan isteri dan sebaliknya komunikasi isteri kepada suami.

2. Fokus terhadap Isu, bukan personaliti


Setiap individu yang terlibat dalam komunikasi perlu fokus terhadap komunikasi yang sedang berlaku agar penghantar dan penerima mesej mencapai matlamat yang sama. Penerima mesej perlu mendengar mesej dengan jelas dan memahami kandungan mesej tersebut. Penghantar perlu melakukan kajian maklumbalas. Fokus dan beri tumpuan dengan jelas kepada masalah dan isu yang telah disampaikan.

Pasangan suami isteri perlu mengelak daripada perlakuan komunikasi tidak lisan yang akan membawa kepada pengertian yang berlainan dengan matlamat komunikasi itu. Sebagai contoh pergerakan menguap, berpeluk tubuh, melakukan perkara lain semasa berkomunikasi serta kurang tumpuan menyebabkan kurang focus dalam isu yang dibangkitkan. Suami isteri juga perlu tahu menggunakan komunikasi secara betul seperti tidak ketawa atau senyum apabila salah penghantar mesej tadi dalam keadaan yang serius.

3. Terima atau Tidak


Setiap individu memiliki tingkah laku yang berbeza-beza. Terdapat golongan yang suka mengkritik individu dalam berkomunikasi apabila perasaan tidak puas hati dengan maksud mesej yang disampaikan. Perkara yang mudah untuk dibincangkan akan menjadi sukar kerana ada golongan yang suka mengkritik dan tidak menerima pendapat orang lain. Perkara ini, akan mewujudkan konflik komunikasi sama ada penerima dapat menerima mesej tersebut secara positif atau negative. Perkara ini boleh dielak dengan kesanggupan menerima pendapat orang lain.

Penerimaan sesuatu perkara atau tidak dalam komunikasi boleh mengurangkan konflik dalam keluarga itu. Pasangan suami isteri perlu menerima secara positif mesej yang disampaikan bagi mengekalkan lagi hubungan jangka panjang. Tolak ansur dalam membuat keputusan mempengaruhi tingkah laku penghantar dan penerima komunikasi yang sedang berlaku.

4. Sikap Terbuka dan Fleksibel


Setiap individu yang terlibat dalam komunikasi perlu belajar untuk bersikap terbuka dan fleksibel dengan mengamalkan komunikasi secara jujur. Mesej yang disampaikan kepada penerima adalah suatu yang telah kita fikirkan dan disampaikan dengan telus. Jika di dalam hati kita menyatakan tidak setuju dengan orang lain perkara tersebut perlu dinyatakan melalui ucapan bagi memperbaiki lagi komunikasi yang mengalami konflik. Walau bagaimana pun tidak ramai yang sampai hati untuk menghampakan pasangannya.

Hubungan suami isteri adalah berdasarkan kasih sayang. Pasangan suami isteri perlu mempunyai tanggungjawab tentang apa yang difikirkan dan apa yang ada dalam hati. Setiap orang perlu memastikan apa yang terhasil dalam pemikiran adalah datang dari hati sendiri dan tidak dipengaruhi oleh pasangan masing-masing. Contohnya isteri sebagai suri rumah boleh berkecil hati dan sedih terhadap sikap suami yang lewat balik dari kerja, tetapi menjadi kasihan apabila suami balik yang kelihatan kepenatan. Apabila mesej dihantar secara verbal atau non verbal ini, penerima mesej akan mentafsir mesej yang disampaikan. Ini adalah tanggungjawab untuk menyatakan hasrat yang difikirkan dalam hati untuk memulakan komunikasi bagi mengurangkan konflik yang mungkin akan berlaku sekiranya tidak berlaku komunikasi.

Bersikap terbuka dan fleksibel dalam kehidupan suami isteri adalah satu kesanggupan untuk berkongsi maklumat bersama. Ramai isteri yang risau apabila suami jarang untuk berkomunikasi dengan mereka apabila berada di rumah sehingga mereka tidak tahu apa yang sedang difikirkan oleh suaminya. Perlakuan suami ini boleh menyebabkan kegagalan dalam komunikasi kerana manusia tidak dapat mengagak apa yang kita fikirkan. Oleh sebab itu, penting bagi suami isteri untuk menjaga hubungan kekeluargaan mereka dengan menggunakan saluran komunikasi yang betul.



Rujukan
1. Abd. Rahim Abd. Rashid, Sufean Hussin, Che Hashim Hassan. (2006). Krisis & Koflik Institusi Keluarga. Kuala Lumpur, Malaysia: Utusan Publications
2. Boon, Yusof, (2008). Membina komunikasi berkesan dengan anak. 1st ed. Johor: UTM Johor.
3. Che Hasniza Che Noh (2006). Journal Kemanusiaan. Hubungan keluarga dari aspek komunikasi dan gaya keibubapaan, 08, 45.
4. Collins, Suzan, (2009). Effective Communication : A Workbook for Social Care Workers.London, GBR: Jessica Kingsley
5. Faridah Ibrahim, Tika Nuraeni, Fauziah Ahmad, Chang Peng Kee, & Normah Mustaffa (2012).Bahasa Komunikasi Visual Dan Pengantaraan Produk: Satu Analisis Semiotik. (Malay), 12(1), p257-273.
6. Hashim Fauzy Yaacob (2001). Komunikasi Antara Manusia. Skudai, Johor: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.
7. Lily Mastura &  Ramlan Hamzah.(2007).  Asas Kaunseling Keluarga. Corak Komunikasi Berkesan. Universiti Teknologi Mara
8. Saodah binti Wok Awang & Narimah binti Ismail (2006). Teori-Teori Komunikasi. KL, Malaysia: PTS Professional
9. Yap Khiam Hong & Massila Hamzah (2010). BDKO1103 Basic Interpersonal Communication.4th ed. Selanglor, Malaysia: Open University Malaysia.
10. Zulkifli Yusof. (2002). Sukarkah komunikasi anda?: Seni berhubung dengan orang lain.Kuala Lumpur, Malaysia: Utusan Publications.





























Catat Ulasan

0 Ulasan