Header Ads Widget

Responsive Advertisement

undang-undang awam dan sivil

PERBEZAAN UNDANG-UNDANG AWAM DAN UNDANG-UNDANG PERSENDIRIAN (SIVIL).
       Kedua-dua jenis undang-undang ini adalah berbeza mengikut kepada fungsi dan kegunaan undang-undang tersebut dalam negara. Undang-undang awam melibatkan hubungan kerajaan dengan rakyat. Undang-undang persendirian pula wujud bagi mengawal hak kepentingan antara individu dengan individu, atau individu dengan masyarakat agar tidak dicerobohi. Kita akan membincangkan secara terperinci perbezaan antara undang-undang awam dengan undang-undang persendirian.

UNDANG-UNDANG AWAM

Undang-undang awam terbahagi kepada tiga kategori yang utama iaitu :-

1) Undang-undang perlembagaan
      
     Undang-undang perlembagaan adalah badan utama mengenai hubungan kerajaan yang berbeza iaitu eksekutif, perundangan dan kehakiman. Undang-undang ini mentakrifkan struktur kerajaan dan asasi rakyat di bawah pemerintahannya. Undang-undang ini berkaitrapat dengan kuasa parlimen dengan hak-hak rakyat. Tujuan undang-undang perlembagaan bagi memastikan hak-hak yang termaktub dalm perlembagaan adalah dipatuhi dan menentukan kerajaan melakukan sesuatu dasar perlembagaan atau sebaliknya.

2) Undang-undang pentadbiran

     Undang-undang pentadbiran adalah undang-undang mengawal hubungan individu dengan negara. Ini berhubungkait dengan pentadbiran dan pelaksanaan kuasa eksekutif dalam pentadbiran negara. Kuasa dan tanggungjawab pihak berkuasa pentadbiran bagi memastikan kuasa-kuasa awam ini membuat tindakan dan keputusan mengikut kehendak undang-undang yang ditetapkan oleh negara. Kuasa awam dilaksanakan selaras dengan undang-undang bertujuan untuk melindungi penglibatan orang awam dalam membuat keputusan. Undang-undang ini penting kerana membolehkan orang awam untuk membuat tuntutan gantirugi bagi kesalahan oleh mana-mana pegawai kerajaan atau piahk berkuasa. Semakan kehakiman juga akan dijalankan bersama bagi menilai dan mempertimbangkan tindakan badan kerajaan sama ada mengikut atau menyalahi undang-undang.

3) Undang-undang jenayah

     Undang-undang jenayah dibentuk bagi mengawal masyarakat daripada melakukan kesalahan yang meliputi jenayah, pendakwaan dan pembelaan. Undang-undang jenayah ditulis oleh kerajaan bagi mengurus kesalahan jenayah yang menyebabkan kemudarataan orang awam dengan mengambil pendekatan hukuman. Undang-undang jenayah mengambilkira keputusan mahkamah tentang jenayah dan mengawalselia tatacara jenayah apbila peraturan tidak jelas digubal yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan.

UNDANG-UNDANG PERSENDIRIAN

     Dalam undang-undang persendirian pula, undang-undang ini melibatkan perkara yang boleh menjejaskan hak dan kewajipan individu dengan individu yang lain. Tujuan adalah untuk memberi pampasan kepada orang yang mengalami kerugian, membolehkan seseorang menuntut gantirugi terhadap harta daripada orang lain dan bagi menguatkuasakan kewajipan dalam kontrak dan amanah setiap individu.

     Salah satu undang-undang persendirian adalah undang-undang kontrak. Seksyen 2(h), Akta Kontrak 1950, mentafsirkan kontrak sebagai “suatu perjanjian yang boleh dikuatkuasakan oleh undang-undang”. Oleh itu kontrak adalah berdasarkan perjanjian. Perjanjian ini perlu sah dari segi undang-undang dan mengikat pihak yang terlibat di sisi undang-undang. Terdapat beberapa elemen penting dalam kontrak iaitu:-
  1. Mesti ada tawaran
  2. Mesti ada penerimaan
  3. Kedua-dua pihak mempunyai niat untuk mewujudkan perhubungan undang-undang
  4. Mesti tidak ada kesilapan, salah nyata atau pengaruh tidak wajar
  5. Pihak terlibat mempunyai kerelaan bebas
  6. Kontrak tersebut mempunyai tujuan yang sah
  7. Mesti boleh menjadi pertimbangan
     Selain daripada kontrak, dalam undang-undang persendirian terdapat juga undang-undang berkaitan tort yang berdasarkan undang-undang. Tort adalah salah satu kesalahan sivil. Terdapat tiga elemen dalam tort iaitu tanggungjawab berhati-hati, pelanggaran tanggungjawab berhati-hati dan kerugian. Seseorang perlu mempunyai tanggungjawab untuk berhati-hati. Kita perlu bertindak dengan berhati-hati agar tindakan tersebut tidak merugikan atau menyebabkan kerosakan kepada orang lain. Undang-undang Tort ini bagi membolehkan pertikaian antara plantif dan defenden untuk dibicarakan. Tujuan adalah untuk mengesan apa-apa kecuaian yang dilakukan oleh sesuatu yang boleh menyebabkan kesan kepada undang-undang. Setiap individu perlu untuk berhati-hati apabila individu tersebut boleh meramal tindakannya boleh menyebabkan kecederaan orang lain. Contohnya kecuaian memandu laju boleh menyebabkan kecederaan kepada orang lain adalah kesan tidak berhati-hati terhadap tindakan memandu laju.

      Perbezaan ketara yang kita dapat lihat di antara undang-undang awam dan undang-undang (sivil) ialah undang-undang awam melibatkan hubungan di antara kerajaan dengan rakyat manakala undang-undang persendirian (sivil) pula melibatkan hubungan di antara rakyat dengan rakyat. Oleh itu, jika kita dapat perhatikan dalam kes-kes mahkamah yang melibatkan undang-undang awam contohnya undang-undang jenayah, perbicaraan yang dijalankan adalah di antara pihak pendakwaraya dari pejabat peguam negara atau pegawai pendakwa daripada pasukan polis yang mewakili kerajaan menjalanakan prosiding jenayah. Manakala dalam undang-undang persendiriaan (sivil) seperti kes-kes yang melibatkan perselisihan di antara dua pihak berkaitan dengan kontrak perjanjian, perbicaraan adalah di antara dua pihak yang bersengketa tersebut dan selalunya diwakili oleh peguam masing-masing. Tindakan undang-undang ini dipanggil sebagai prosiding sivil di mana pihak mendakwa dipanggil sebagai plantif manakala pihak yang didakwa dipanggil sebagai defendan. Manakala dalam kes-kes rayuan pula,, pihak yang membuat rayuan dipanggil appellant dan pihak yang bertentangan dipanggil sebagai responden.

RUJUKAN
1. BRADLEY, A. W. (1985). Constitutional And Administrative . New York: Longman.
2. Heuston, R. (1979). Essays in Constitutional Law. London: Stevens & Son.
3. Hapriza Ashari, Khairiah Soehad & Lekha Laxma (2005). Prinsip Undang-Undang Malaysia. Pahang. PTS Publications.
4. Pheng, L. M. (2003). General Principles of Malaysian Law. Selangor: Fajar Bakti.
5. Ramalingam, C. L. (2010). BDAU2103: Elements of Law. Selangor. Open University Malaysia.
6. Undang-undang (Wikipedia): Http://Ms.Wikipedia.Org/Wiki/Undang-Undang
7. Pusat Maklumat Rakyat Http://Pmr.Penerangan.Gov.My/Index.Php/Maklumat-Kenegaraan/1201-Demokrasi-Berparlimen.Html
8. Malaysia Kita Panduan Dan Rujukan Untuk Peperiksaan Awam International Law Book Services Cetakan Semula 2008
9. Perlembagaan Persekutuan (Hingga 20 Januari 2012) International Law Book Services (2012)
10. Undang-undang Jenayah Http://Ms.Wikipedia.Org/Wiki/Undang-Undang_Jenayah
11. Ordinan Kerajaan Tempatan, 1961 (Ordinan No. 11 Tahun 1961) Perintah (Penyerahan Tugas-Tugas Peruntukan-Peruntukan Tempat Letak Kereta Dan Perhentian) Pihak Berkuasa Tempatan, 1973. Undang-Undang Kecil (Peruntukan-Peruntukan Tempat Letak Kereta) Bandaraya Kota Kinabalu, 2003
12. Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333)
13. Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334)

Catat Ulasan

0 Ulasan