Header Ads Widget

Responsive Advertisement

Undang-undang Malaysia

UNDANG-UNDANG
Undang-undang amat penting dalam kehidupan kita sejak dahulu lagi. Ramai penulis yang memberikan definisi undang-undang yang berbeza-beza. Oleh itu tiada definisi khusus maksud undang-undang. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mendefinisikan undang-undang sebagai ‘sesuatu peraturan atau keseluruhan peraturan yang digubal (dibuat) oleh kerajaan dan mesti dipatuhi oleh masyarakat yang berkenaan’. Selain itu DBP juga menyatakan undang-undang adalah ‘peraturan yg digubal untuk sesuatu perbadanan (perkumpulan, persatuan, dll) oleh orang-orang tertentu’. Mengikut kamus undang-undang Oxford, pula perkataan undang-undang membawa maksud ‘suatu kumpulan peraturan-peraturan yang di kuatkuasa dengan tujuan untuk mentadbir sesebuah masyarakat’.

Menurut Yaqin (1996), ‘…kesemua pihak bersetuju jika dikatakan bahawa undang-undang adalah satu set peraturan yang mentadbir tingkah laku dalam masyarakat’. Manakala John Austin dalam buku The Province of Jurispredence Detemined, mendefinisikan undang-undang adalah ‘suatu kumpulan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pihak pemerintah ke atas pihak yang diperintah dan dikuatkuasakan melalui penggunaan sekatan dan hukuman ke atas mereka yang mengingkarinya’
Menurut John Salmond (Jurispredence) mendefinisikan undang-undang sebagai ‘kumpulan prinsip-prinsip yang diiktiraf dan digunapakai oleh sesebuah negara dalam pentadbiran keadilan atau dengan kata lain undang-undang ialah suatu kumpulan peraturan yang dikuatkuasakan oleh negara ke atas rakyatnya demi menjaga keamanan dan keadilan.

Menurut Wikipedia: http://ms.wikipedia.org/wiki/Undang-undang). Undang-undang merupakan satu sistem peraturan atau norma yang cuba diikuti oleh ahli-ahli masyarakat. Biasanya ini adalah peraturan sesuatu negara. Jika peraturan-peraturan ini dilanggar, orang yang melanggar peraturan tersebut mungkin dihukum atau didenda oleh mahkamah. Peraturan ini biasanya dibuat oleh pemerintah negara tersebut supaya rakyatnya boleh hidup, bekerja dan bersosial antara satu sama lain. Kadangkala, undang-undang juga dibuat oleh sekumpulan orang yang berfikiran sama.

Jelas di sini perkataan undang-undang mempunyai makna yang berbagai bergantung kepada siapa atau pihak mana yang mentafsirkannya mengikut perspektif dan kepentingan masing-masing. Undang-undang adalah untuk keadilan, sesuai dengan keadaan, diterima pakai oleh setiap masyarakat. Undang-undang juga perlu ditafsirkan mengikut perspektif dan kepentingan dalam sesebuah masyarakat. Ianya penting bagi mentadbir sesebuah masyarakat. Undang-undang adalah peraturan-peraturan dalam masyarakat yang telah digubal oleh pemerintah untuk kegunaan individu atau kumpulan bagi memastikan setiap individu itu mematuhi undang-undang. Ketidakpatuhan kepada undang-undang yang telah diterima pakai oleh masyarakat akan menyebabkan tindakan berbentuk hukuman akan dilaksanakan. Ini berbeza dengan peraturan yang bersifat norma-norma budaya yang diikuti dan diamalkan dalam masyarakat yang tidak berkuatkuasa sebagai undang-undang, perlanggaran ke atasnya tidak dikenakan denda atau hukuman akan tetapi pelaku-pelaku tersebut mungkin dipandang serong atau mendapat cemuhan dari masyarakat sekeliling.

Undang-undang boleh diklasifikasikan kepada dua bentuk iaitu undang-undang awam dan undang-undang persendirian. Undang-undang awam berfungsi mengatur perhubungan di antara individu dengan Negara manakala undang-undang persendirian yang juga dikenali sebagai undang-undang sivil berfungsi mengatur hubungan di antara individu dengan individu yang lain.

Undang-undang Awam

Undang-undang awam diwujudkan adalah untuk mentadbir sesebuah negara. Tujuan utama undang-undang awam adalah untuk mentadbir dan mengawal perhubungan dan tingkahlaku individu dengan negara. Undang-undang awam meliputi undang-undang perlembagaan, undang-undang pentadbiran dan undang-undang jenayah.

Undang-undang Persendirian

Undang-undang persendirian diwujudkan bagi menguatkuasakan perhubungan antara individu dengan individu atau kumpulan lain berkenaan hak masing-masing. Undang-undang ini lebih kepada keadilan terhadap pihak yang teraniaya agar boleh menuntut kerugian atas sebab pelanggaran undang-undang yang telah ditetapkan. Undang-undang persendirian ini terbahagi kepada undang-undang kontrak, undang-undang tort, undang-undang amanah, undang-undang tanah, undang-undang keluarga, undang-undang syarikat dan undang-undang perkongsian.


RUJUKAN
1. BRADLEY, A. W. (1985). Constitutional And Administrative . New York: Longman.
2. Heuston, R. (1979). Essays in Constitutional Law. London: Stevens & Son.
3. Hapriza Ashari, Khairiah Soehad & Lekha Laxma (2005). Prinsip Undang-Undang Malaysia. Pahang. PTS Publications.
4. Pheng, L. M. (2003). General Principles of Malaysian Law. Selangor: Fajar Bakti.
5. Ramalingam, C. L. (2010). BDAU2103: Elements of Law. Selangor. Open University Malaysia.
6. Undang-undang (Wikipedia): Http://Ms.Wikipedia.Org/Wiki/Undang-Undang
7. Pusat Maklumat Rakyat Http://Pmr.Penerangan.Gov.My/Index.Php/Maklumat-Kenegaraan/1201-Demokrasi-Berparlimen.Html
8. Malaysia Kita Panduan Dan Rujukan Untuk Peperiksaan Awam International Law Book Services Cetakan Semula 2008
9. Perlembagaan Persekutuan (Hingga 20 Januari 2012) International Law Book Services (2012)
10. Undang-undang Jenayah Http://Ms.Wikipedia.Org/Wiki/Undang-Undang_Jenayah
11. Ordinan Kerajaan Tempatan, 1961 (Ordinan No. 11 Tahun 1961) Perintah (Penyerahan Tugas-Tugas Peruntukan-Peruntukan Tempat Letak Kereta Dan Perhentian) Pihak Berkuasa Tempatan, 1973. Undang-Undang Kecil (Peruntukan-Peruntukan Tempat Letak Kereta) Bandaraya Kota Kinabalu, 2003
12. Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333)
13. Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334)

Catat Ulasan

0 Ulasan