Header Ads Widget

Responsive Advertisement

Perhubungan Pekerjaan

   Perhubungan pekerjaan melibatkan satu peraturan hubungan yang akan wujud antara majikan dengan pekerja. Perhubungan ini mengandungi hak dan tanggungjawab secara berterusan sehinggalah salah seorangnya menamatkannya berdasarkan terma kontrak yang telah dipersetujui kedua boleh pihak. Undang-undang adalah perkara penting dalam mewujudkan satu kontrak perkhidmatan.
Kontrak Perkhidmatan dapat didefinisikan sebagai satu perjanjian di mana seseorang bersetuju untuk mengambil kerja seseorang pekerja dan pekerja itu bersetuju berkhidmat dengan majikannya sebagai seorang pekerja. Kontrak tersebut boleh dibuat sama ada secara lisan atau bertulis. Bagi kontrak perkhidmatan yang khusus bagi suatu tempoh masa tertentu dan melebihi sebulan, ianya hendaklah dibuat secara bertulis. Terma atau syarat-syarat perkhidmatan mestilah bertulis dan diberi kepada semua pekerja pada atau sebelum pekerja tersebut mula bertugas. Terma-terma ini tidak boleh kurang daripada terma-terma yang ditetapkan oleh Akta Kerja 1955.
      “Kontrak pekerjaan” wujud apabila majikan mengambil seseorang individu bekerja dengannya dan membayar upah tertentu, serta mengandungi terma dan syarat yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Kita ambil satu contoh perhubungan kontrak pekerjaan antara majikan dan pekerja. Kita anggap majikan adalah kerajaan dan penjawat awam lantikan kontrak sebagai pekerja. Sebagai majikan, kerajaan akan menyediakan jumlah masa bekerja  sehari, skop dan jenis kerja yang dilakukan, gaji bulanan, cuti dan faedah dan beberapa perkara perlu untuk dipatuhi oleh penjawat awam tersebut. Ini bermakna kerajaan dan pekerja mempunyai satu hak dan tanggungjawab yang melibatkan satu undang-undang kontrak yang perlu dipatuhi.
Kontrak perkhidmatan ini penting dalam menentukan seseorang individu tersebut merupakan pekerja atau pun tidak. Terdapat empat jenis ujian yang biasa dan diterima pakai oleh mahkamah iaitu ujian Kawalan, Ujian Organisasi, Ujian Pelbagai dan Ujian Komposit.

Hubungan Majikan-Pekerja

Majikan

Akta Kerja 1955 mendefinisikan Majikan sebagai Mana-mana orang yang mempersetujui suatu kontrak perkhidmatan untuk menggaji mana-mana orang lain sebagai pekerja, dan ini termasuklah ejen, pengurus atau wakilnya.

Akta Perhubungan Perusahaan 1967 pula mendefinisikan Majikan sebagai Mana-mana orang atau syarikat, sama ada diperbadankan atau tidak, yang mengambil pekerja di bawah kontrak pekerjaan, dan ini termasuklah badan kerajaan dan badan berkanun, kecuali dinyatakan sebaliknya di Akta ini.

            Oleh yang demikian, melalui definisi-definisi ini, majikan adalah orang yang bertanggungjawab dalam memberi kontrak perkhidmatan kepada seseorang individu yang akan digajinya yang seterusnya digelar pekerja. Majikan ini termasuklah pengurus, ejen atau individu yang bertanggungjawab dalam memberi pembayaran gaji dan upah kepada pekerja, termasuk mana-mana pihak kerajaan, badan berkanun, pihak berkuasa tempatan dan badan-badan lain.

Pekerja
Akta Kerja 1955 mendefinisikan pekerja sebagai mana-mana orang atau kelas orang yang: termasuk dalam mana-mana kategori yang dinyatakan dalam Jadual Pertama (iaitu mereka yang menerima gaji bulanan tidak lebih RM1500); atau Menteri Sumber Manusia boleh membuat perintah di bawah Seksyen 2(3) atau Seksyen 2A.

Jadual Pertama Akta Kerja 1955: mengkelaskan pekerja kepada dua kategori.

Kategori pertama
pekerja dikelaskan mengikut jumlah gaji yang diterima, iaitu tidak melebihi RM1500 sebulan.

Kategori kedua
pekerja dikelaskan mengikut jenis kerja yang dilakukan, walaupun gaji bulanan yang mereka terima melebihi RM1500. Kategori kedua ini terdiri daripada mereka yang bekerja sebagai:

i)  buruh kasar, termasuklah mereka yang mempunyai kemahiran(skill), contohnya ahli tukang atau perantis;
ii) pekerja yang terlibat dalam operasi atau pengendalian kenderaan bergerak, sama ada untuk  tujuan pengangkutan penumpang, barangan atau perdagangan(commercial)
iii) pekerja yang terlibat dalam penyeliaan buruh-buruh kasar;
iv) pekerja yang terlibat dalam sebarang tugas yang berkaitan dengan perkapalan, kecuali pegawai, pemegang sijil tempatan dan yang mempersetujui apa-apa perjanjian dari Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan
 v) pembantu rumah

Menurut Akta Perhubungan Perusahaan 1967 pekerja didefinisikan sebagai Mana-mana orang, termasuklah perantisan yang diambil bekerja oleh majikan di bawah kontrak pekerjaan, untuk bekerja bagi mendapatkan upah atau ganjaran, dan bagi tujuan apa-apa tindakaan undang-undang (proceeding) berhubung dengan pertikaian perindustrian, termasuklah mana-mana orang yang dipecat(dismissed), dilepaskan(discharged) atau diberhentikan(retrenched) berhubung dengan pertikaian perindustrian, atau mana-mana orang yang akibat daripada pemecatan, pelepasan atau pemberhentian itu telah menimbulkan suatu pertikaian perindustrian.

           Oleh yang demikian pekerja adalah individu yang diambil bekerja oleh majikan dan menerima gaji dan upah atas sebab sesuatu pekerjaan yang dilaksanakan. Penawaran gaji ini sebenarnya masih dikawal oleh Menteri Sumber Manusia agar tidak berlaku penindasan pemberian gaji kepada pekerja yang tidak setimpal dengan pekerjaan yang telah dipersetujui. Pekerja dapat dikategorikan kepada dua kategori iaitu gaji yang tidak melebihi RM1500 sebulan dan pekerja yang menerima gaji melebihi RM1500. Pekerja juga termasuklah pekerja yang telah dipecat atau dilepaskan atau telah diberhentikan bagi menyelesaikan suatu pertikaian perindustrian antara majikan dan pekerja.

Rujukan
1)    Akta Kerja 1955 (Akta 265) & peraturan-peraturan dan perintah: hingga 5hb April 2001. (2001). Kuala Lumpur: International Law Book Services :.
2)    Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177): hingga 15th November 2008. (2008). Kuala Lumpur: International Law Book Services.
3)    Hapriza Ashari. (2004). Undang-undang Pekerjaan: Huraian Dan Panduan Terhadap Akta Kerja 1955. Kuala Lumpur: Universiti Teknologi Malaysia.
4)    Harlida Abdul Wahab, Roosniza Sharif, Mumtaj Hassan. (2011). BDUE3103 Introductory Employment Law. Selangor: Open University Malaysia
5)   Min Aun Wu. (1985). Undang-undang perhubungan perusahaan di Malaysia. Kuala Lumpur: Heinemann (Malaysia).
6)   Mohmad bin Yazam Sharif. (2001).  Asas Pengurusan Sumber Manusia: Pendekatan Proses. Kuala Lumpur: Utusan Publications
7)   Kamal Halili Hassan, Ahmad Kamal (Nik.), Mumtaj Hassan. (2007). Siri perkembangan undang-undang di Malaysia: Undang-undang pekerjaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka

Catat Ulasan

0 Ulasan