Perhubungan pekerjaan melibatkan satu
peraturan hubungan yang akan wujud antara majikan dengan pekerja. Perhubungan
ini mengandungi hak dan tanggungjawab secara berterusan sehinggalah salah
seorangnya menamatkannya berdasarkan terma kontrak yang telah dipersetujui
kedua boleh pihak. Undang-undang adalah perkara penting dalam mewujudkan satu
kontrak perkhidmatan.
Kontrak
Perkhidmatan dapat didefinisikan sebagai satu perjanjian di mana seseorang bersetuju
untuk mengambil kerja seseorang pekerja dan pekerja itu bersetuju berkhidmat
dengan majikannya sebagai seorang pekerja. Kontrak tersebut boleh dibuat sama
ada secara lisan atau bertulis. Bagi kontrak perkhidmatan yang khusus bagi
suatu tempoh masa tertentu dan melebihi sebulan, ianya hendaklah dibuat secara
bertulis. Terma atau syarat-syarat perkhidmatan mestilah bertulis dan diberi
kepada semua pekerja pada atau sebelum pekerja tersebut mula bertugas.
Terma-terma ini tidak boleh kurang daripada terma-terma yang ditetapkan oleh
Akta Kerja 1955.
“Kontrak
pekerjaan” wujud apabila majikan mengambil seseorang individu bekerja dengannya
dan membayar upah tertentu, serta mengandungi terma dan syarat yang
dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Kita ambil satu contoh
perhubungan kontrak pekerjaan antara majikan dan pekerja. Kita anggap majikan
adalah kerajaan dan penjawat awam lantikan kontrak sebagai pekerja. Sebagai
majikan, kerajaan akan menyediakan jumlah masa bekerja sehari, skop dan jenis kerja yang dilakukan,
gaji bulanan, cuti dan faedah dan beberapa perkara perlu untuk dipatuhi oleh
penjawat awam tersebut. Ini bermakna kerajaan dan pekerja mempunyai satu hak
dan tanggungjawab yang melibatkan satu undang-undang kontrak yang perlu
dipatuhi.
Kontrak perkhidmatan ini penting
dalam menentukan seseorang individu tersebut merupakan pekerja atau pun tidak.
Terdapat empat jenis ujian yang biasa dan diterima pakai oleh mahkamah iaitu
ujian Kawalan, Ujian Organisasi, Ujian Pelbagai dan Ujian Komposit.
Hubungan Majikan-Pekerja
Majikan
Akta
Kerja 1955 mendefinisikan Majikan sebagai Mana-mana orang yang mempersetujui
suatu kontrak perkhidmatan untuk menggaji mana-mana orang lain sebagai pekerja,
dan ini termasuklah ejen, pengurus atau wakilnya.
Akta
Perhubungan Perusahaan 1967 pula mendefinisikan
Majikan sebagai Mana-mana orang atau
syarikat, sama ada diperbadankan atau tidak, yang mengambil pekerja di bawah
kontrak pekerjaan, dan ini termasuklah badan kerajaan dan badan berkanun,
kecuali dinyatakan sebaliknya di Akta ini.
Oleh
yang demikian, melalui definisi-definisi ini, majikan adalah orang yang
bertanggungjawab dalam memberi kontrak perkhidmatan kepada seseorang individu
yang akan digajinya yang seterusnya digelar pekerja. Majikan ini termasuklah
pengurus, ejen atau individu yang bertanggungjawab dalam memberi pembayaran
gaji dan upah kepada pekerja, termasuk mana-mana pihak kerajaan, badan
berkanun, pihak berkuasa tempatan dan badan-badan lain.
Pekerja
Akta Kerja 1955
mendefinisikan pekerja sebagai mana-mana orang atau kelas orang yang: termasuk
dalam mana-mana kategori yang dinyatakan dalam Jadual Pertama (iaitu mereka
yang menerima gaji bulanan tidak lebih RM1500); atau Menteri Sumber Manusia
boleh membuat perintah di bawah Seksyen 2(3) atau Seksyen 2A.
Jadual Pertama Akta Kerja 1955:
mengkelaskan pekerja kepada dua kategori.
Kategori pertama
pekerja dikelaskan mengikut jumlah
gaji yang diterima, iaitu tidak melebihi RM1500 sebulan.
Kategori kedua
pekerja
dikelaskan mengikut jenis kerja yang dilakukan, walaupun gaji bulanan yang
mereka terima melebihi RM1500. Kategori kedua ini terdiri daripada mereka yang
bekerja sebagai:
i) buruh
kasar, termasuklah mereka yang mempunyai kemahiran(skill), contohnya ahli
tukang atau perantis;
ii) pekerja
yang terlibat dalam operasi atau pengendalian kenderaan bergerak, sama ada
untuk tujuan pengangkutan penumpang,
barangan atau perdagangan(commercial)
iii) pekerja yang terlibat dalam
penyeliaan buruh-buruh kasar;
iv) pekerja yang terlibat dalam
sebarang tugas yang berkaitan dengan perkapalan, kecuali pegawai, pemegang
sijil tempatan dan yang mempersetujui apa-apa perjanjian dari Ordinan
Perkapalan Saudagar 1952 dan
v) pembantu rumah
Menurut Akta Perhubungan Perusahaan 1967
pekerja didefinisikan sebagai Mana-mana orang, termasuklah perantisan yang
diambil bekerja oleh majikan di bawah kontrak pekerjaan, untuk bekerja bagi
mendapatkan upah atau ganjaran, dan bagi tujuan apa-apa tindakaan undang-undang
(proceeding) berhubung dengan pertikaian perindustrian, termasuklah mana-mana
orang yang dipecat(dismissed), dilepaskan(discharged) atau
diberhentikan(retrenched) berhubung dengan pertikaian perindustrian, atau
mana-mana orang yang akibat daripada pemecatan, pelepasan atau pemberhentian
itu telah menimbulkan suatu pertikaian perindustrian.
Oleh yang demikian pekerja adalah individu yang diambil bekerja oleh majikan
dan menerima gaji dan upah
atas sebab sesuatu pekerjaan yang dilaksanakan. Penawaran gaji ini sebenarnya
masih dikawal oleh Menteri Sumber Manusia agar tidak berlaku penindasan
pemberian gaji kepada pekerja yang tidak setimpal dengan pekerjaan yang telah
dipersetujui. Pekerja dapat dikategorikan kepada dua kategori iaitu gaji yang
tidak melebihi RM1500 sebulan dan pekerja yang menerima gaji melebihi RM1500.
Pekerja juga termasuklah pekerja yang telah dipecat atau dilepaskan atau telah
diberhentikan bagi menyelesaikan suatu pertikaian perindustrian antara majikan
dan pekerja.
Rujukan
1)
Akta Kerja 1955 (Akta 265)
& peraturan-peraturan dan perintah: hingga 5hb April 2001. (2001). Kuala Lumpur: International Law Book Services :.
2)
Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177): hingga 15th November
2008. (2008). Kuala Lumpur: International
Law Book Services.
3)
Hapriza Ashari. (2004). Undang-undang Pekerjaan: Huraian Dan
Panduan Terhadap Akta Kerja 1955. Kuala Lumpur: Universiti Teknologi
Malaysia.
4)
Harlida Abdul Wahab,
Roosniza Sharif, Mumtaj Hassan. (2011). BDUE3103 Introductory Employment Law.
Selangor: Open University Malaysia
5) Min
Aun Wu. (1985). Undang-undang perhubungan perusahaan di Malaysia. Kuala Lumpur:
Heinemann (Malaysia).
6) Mohmad
bin Yazam Sharif. (2001). Asas
Pengurusan Sumber Manusia: Pendekatan Proses. Kuala Lumpur: Utusan
Publications
7) Kamal
Halili Hassan, Ahmad Kamal (Nik.), Mumtaj Hassan. (2007). Siri perkembangan undang-undang
di Malaysia: Undang-undang pekerjaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan
Pustaka
0 Ulasan